May 02, 2025 - FASLiga Malaysia buat julung kalinya dimainkan dua tahun bagi satu musim, menjadikan satu pengalaman yang baharu buat ke semua pasukan. Banyak cerita jatuh dan bangun yang dilalui pasukan sejak awal musim. Ini adalah antara perkara yang dicapai oleh pasukan:-
Selangor FC telah menamatkan Liga Malaysia pada 19 April yang lalu menentang PDRM FC dalam saingan Liga Super 2024/25. Sepanjang liga berlangsung, banyak pencapai pasukan serta individu yang berjaya diperoleh daripada perlawanan-perlawanan yang dimainkan bagi menunjukkan progres pasukan musim kali ini.
Pencapaian bagi musim 2024/25 tidak kurang hebatnya berbanding tahun lalu. Selangor FC menamatkan saingan Liga Super Malaysia di tempat kedua dengan 52 mata daripada 24 perlawanan (16 kemenangan, empat seri dan empat kalah), sekaligus melayakkan pasukan ke saingan AFC Champions League Two 2025/26 untuk dua tahun berturut-turut, sejurus tamat perlawanan ketiga terakhir liga menentang Kelantan Darul Naim FC. Manakala, dalam saingan Piala FA pula, skuad Gergasi Merah berjaya mara ke perlawanan Akhir selepas menewaskan Negeri Sembilan di pusingan 16 dengan keputusan 4-0, Kuching City FC di pusingan Suku Akhir dengan agregat 5-3 dan Terengganu FC di pusingan Separuh Akhir dengan keputusan 6-4 (secara agregat) untuk layak ke perlawanan Akhir sebelum muncul sebagai Naib Juara. Selain itu, bagi saingan Piala Malaysia pula, skuad squad Gergasi Merah tewas kepada Sri Pahang FC 2-3 (secara agregat) di pusingan 16. Namun, pasukan berjaya menjulang trofi MFL Challenge Cup di stadium MBPJ selepas menewaskan juara bertahan, PDRM FC dengan agregat 7-0, sekaligus menjadikan Selangor FC pasukan yang memperoleh kesemua piala yang dipertandingan (secara kompetitif) dalam liga Malaysia.
Bagi saingan antarabangsa, skuad Gergasi Merah menamatkan saingan di tempat ketiga Kumpulah H AFC Champions League TWO 2025/26 dengan mengumpul 11 mata, hanya dibezakan dengan satu mata sahaja berbanding pasukan di tempat kedua, Muangthong United. Mara ke peringkat Asia buat kali pertama sejak tahun 2016, pasukan berjaya merekodkan tiga kemenangan, satu seri dan dua kekalahan.
Secara keseluruhannya, skuad Merah Kuning telah beraksi dalam 44 perlawanan sepanjang musim, menang dalam 28 perlawanan, seri enam perlawanan dan 10 kekalahan. Barisan pertahanan juga berjaya mencatatkan 18 ‘Clean Sheets’; 11 dalam Liga Super, empat di Malaysia Challenge Cup, dua di AFC Champions League TWO, dan satu dalam saingan Piala FA.
Salah satu fakta menarik tentang ‘Clean Sheets’ adalah daripada 18 rekod tersebut, Kalamulllah Al-Hafiz merupakan pemegang rekod terbanyak dengan 11 perlawanan. Diikuti, Samuel Somerville dengan lima perlawanan dan penjaga gol muda skuad Gergasi Merah, Azim Al Amin dengan empat perlawanan.
Selain itu, skuad bimbingan Kinoshi Katsuhito ini berjaya menjaringkan 87 gol kompetitif dengan purata 2 gol setiap perlawanan, dan dibolosi sebanyak 36. Rekod tanpa kalah pasukan adalah sebanyak 17 perlawanan berturut-turut, manakala rekod kekalahan terpanjang (tanpa menang) musim ini adalah untuk satu perlawanan sahaja.
Penyumbang terbanyak daripada 87 jaringan tersebut adalah Alvin Fortes dengan 20 gol, beliau merupakan satu-satunya pemain yang berjaya menjaringkan gol dalam kelima-lima saingan bagi musim 2024/25. Diikuti, Ronnie Fernandez dengan 16 gol. Kemudian, Yohandry Orozco kekal konsisten dengan 11 gol. Selain itu, Ali Olwan dan Quentin Cheng berkongsi lima jaringan. Manakala, Safuwan Baharudin, Mukhairi Ajmal dan Harith Haiqal menjaringkan empat gol. Seterusnya, Faisal Halim dengan jaringan hatrik beliau. Noor Al-Rawabdeh, Haiqal Lau, Reziq Banihani dan Izwan Yuslan berjaya menjaringkan dua gol. Akhir sekali. Umarbek Eshmurodov, Nikola Jambor, Danial Asri, Zikri Khalili dan Nooa Laine masing-masing menyumbang satu gol untuk pasukan.
Yohandry Orozco mengungguli senarai pemain yang membuat jumlah bantuan gol terbanyak dengan 10 bantuan gol. Diikut rapat oleh Quentin Cheng dengan sembilan ‘assist’. Kemudian, Ronnie Fernandez, Alvin Fortes dan Nooa Laine berjaya membuat tujuh ‘assist’. Mukhairi Ajmal pula dengan lima ‘assist’. Safuwan Baharudin berjaya membuat empat ‘assist’. Pemain tengah, Alexander Agyarkwa dengan tiga ‘assist’. Noor Al-Rawabdeh, Nikola Jambor, Faisal Halim dan Haiqal Lau menyumbang dua ‘assist’. Umarbek Eshmurodov, Sharul Nazeem, Danial Asri, Ali Olwan, Reziq Banihani dan Zikri Khalili masing-masing ‘assist’ satu gol.
Seterusnya, seramai 19 orang pemain, lebih daripada separuh jumlah barisan pemain bagi musim 2024/25 berjaya membuat penampilan lebih daripada 1,000 minit iaitu Alvin Fortes dengan 3,136 minit, Ronnie Fernandez 3,061 minit, Yohandry Orozco 2,922 minit, Quentin Cheng 2,845 minit, Safuwan Baharudin 2,646 minit, Harith Haiqal 2,455 minit, Sharul Nazeem 2,328 minit, Zikri Khalili 1,975 minit, Umarbek Eshmurodov 1,714 minit, Haiqal Lau 1,489 minit, Nikola Jambor 1,478 minit, Ali Olwan 1,464 minit, Kalamullah Al-Hafiz 1,440 minit, Noor Al-Rawabdeh 1,294 minit, Samuel Somerville 1,178 minit, Mukhairi Ajmal 1,160 minit, Fazly Mazlan 1,149 minit, Alexander Agyarkwa 1,142 minit dan Azim Al Amin 1,102 minit.
Dalam masa yang sama, seramai lima orang pemain muda berjaya membuat penampilan pertama mereka bersama kelab Gergasi Merah iaitu Nooa Laine (22 tahun) dan Reziq Banihani (22 tahun) pada perlawanan pertama Liga Super menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium MBPJ. Selain itu, Azim Al Amin (23 tahun) muncul buat kali pertama dalam perlawanan Akhir Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim FC. Diikuti, pemain import dari Jordan, Mohammad Abualnadi (23 tahun) dalam saingan AFC Champions League Two menentang Dynamic Herb Cebu FC dan Harry Danish (20 tahun) ketika menentang Kelantan Darul Naim dalam aksi Suku Akhir kedua MFL Challenge Cup.
Selain itu, empat pemain Gergasi Merah turut berjaya mencatatkan 100 penampilan bersama skuad senior Selangor FC dalam musim ini iaitu Mukhairi Ajmal, Haiqal Lau, Sharul Nazeem dan Quentin Cheng. Mereka merupakan nama-nama pemain pembangunan yang berjaya menempah nama bersama pasukan ‘feeder’ Merah Kuning pada tahun 2020 sebelum dinaikkan pangkat ke skuad utama pada tahun seterusnya. Musim ini juga merupakan tahun ke-10 dan terakhir Khairulazhan Khalid bersama Selangor FC sejak dari tahun 2016. Beliau satu-satunya pemain yang sempat merasa transisi pertukaran Selangor daripada sebuah Persatuan dan kini menjadi sebuah Kelab, setia bersama jauh dan bangun sepanjang satu dekat di sini.
Antara pencapaian peribadi bagi musim ini adalah Faisal Halim dan Nooa Laine telah memenangi anugerah kategori ‘Fans Best XI’ bagi Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2024/25 bersama sembilan pemain daripada pasukan lain. Selain itu, Kalamullah Al-Hafiz telah disenarai pendek sebagai tiga Penjaga Gol terbaik di tahun pertamanya bersama squad Selangor FC. Begitu juga, Harith Haiqal, beliau tersenarai sebagai tiga Pemain Pertahanan Terbaik dan Harry Danish pula merupakan tiga calon Pemain PMFL Terbaik.
Selain daripada itu, daripada enam perlawanan AFC Champions League TWO, empat pemain Selangor FC telah dipilih menjadi Man of The Match iaitu Ronnie Fernandez dalam pusingan pertama menentang Muangthong United FC, Yohandry Orozco dalam kedua-dua aksi menentang Dynamic Herbs Cebu FC dan Ali Olwan dalam pusingan pertama menentang Jeonbuk Hyundai Motors FC. Ini merupakan antara pencapaian antarabangsa yang baik bagi pasukan selain memenangi perlawanan menentang Jeonbuk Hyundai Motors FC, antara pasukan gergasi di Republik Korea dengan keputusan 2-1 di Stadium MBPJ.
Secara keseluruhan, banyak kenangan-kenangan manis berjaya dicapai oleh pasukan bagi musim ini termasuklah peningkatan statistik dari masa ke semasa.
Semoga pasukan Selangor FC terus mencapai lebih banyak kejayaan di masa akan datang. Terima kasih untuk musim 2024/25.
Demi Kebanggaan!